Recent Posts

Sunday, November 27, 2011

-Pesanan kepada semua Blogger/Penulis-


Bismillahirrahmanirrahim…


    Marcapada ini, makin ramai yang memilih bidang penulisan sebagai salah satu medium yang boleh digunapakai dalam usaha untuk menyampaikan sesuatu ilmu ataupun perkongsian serta nasihat berguna. Tidak kurang juga,bagi yang menggunakan medium ini sebagai salah satu usaha untuk berdakwah serta memandu fikrah ke arah menyebarkan islam.Hal ini kerana kita percaya ilmu yang disampaikan itu merupakan salah satu saham yang akan membantu kita di Akhirat nanti kerana ilmu yang bermanfaat itu pahalanya tidak akan putus selagimana ilmu terus diamalkan dan disebarkan insyaAllah.Kerana kita tahu:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Hadith Sahih – Riwayat Imam Ahmad)




   Tetapi benar seperti yang dikatakan muharikah iaitu ujian itu berbeza-beza. Lain orang lain ujiannya. Seseorang itu mungkin sahaja akan diuji dengan hartanya seperti  perniagaan yang diusahakan bertahun-tahun akhirnya muflis. Seseorang itu mungkin sahaja diuji dengan nyawa seperti orang yang amat dikasihi serta dicintainya mati dan kembali ke rahmatullah.Tetapi tahukah kita ujian pada orang yang berilmu itu lain pula caranya? Ujian pada seorang dai’e itu juga lebih berat kerana ia berlegar bukan sekadar dari aspek luaran tetapi juga dari hati itu sendiri.

   Seorang yang a’lim/dai’e itu dikatakan terpaksa terus teguh untuk menasihati,menyampaikan dan berdakwah walau ada orang yang melemparkan celaan ataupun su’udzon tapi apa yang lebih penting ujian yang menguji hati itu sendiri.Hal ini kerana, syaitan selalu cuba untuk memalingkan niat hati kita dari niat yang asal. Apa gunanya kita menasihati orang jika hati sendiri penuh dengan rasa kebanggaan dan takbur yang secara tidak langsung akan menyebabkan semua amalan kita sia-sia. Kerana ketiadaan sifat ikhlas itu sendiri.

    Memang benar, susah untuk kita mendapat darjat Ikhlas itu, tapi kita harus cuba untuk ikhlas.Bukankah kita sendiri dapat menilai apa yang terlintas di dalam hati kita. Itulah pentingnya tazkirah dzatiah yakni tazkirah untuk diri kita sendiri.Apakah ada keikhlasan dalam setiap amalan yang kita lakukan? Adakah sedekah yang kita berikan tadi ikhlas? Atau hanya untuk dipertontonkan kepada orang lain. Adakah sembahyang sunat yang kita dirikan ini didirikan dengan rasa kerendahan diri terhadap pencipta ataupun sekadar membenihkan rasa u’jub dan riak di dalam hati kita. Kita boleh menilai apa yang bersarang di hati kita.

   Jadi apa yang ingin saya tekankan di sini, cubalah untuk memberi dengan kerendahan hati,cubalah menulis dengan ikhlas,cubalah sucikan niat kita.Benar, hati itu sentiasa berubah-ubah, kerana itulah kita perlu berdoa kepada sang pencipta agar diteguhkan hati ini. Tidak dinafikan, masalah ini juga bagaikan menghempas diri ini, dengan rasa hebat, u’jub yang cuba membuat sarang di dalam hati ini.Padahal tidak sehebat mana pun, bahkan hina di sisi Allah atas dasar u’jub yang terbit di hati. Sia-sia. Kerana Allah sangat menitikberatkan niat kita.

Saidina Ali r.a berkata :"Janganlah kamu risau dengan amalan yang sedikit, tetapi risaulah apakah amalan itu dapat diterima oleh Allah! Hal ini kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda kepada Muaz Bin Jabal :

"Ikhlaskanlah amalanmu dan sudah mencukupi untukmu amalan yang sedikit asalkan dilakukan dengan ikhlas."(Riwayat Dailani)



أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ  39:3
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).



   Tidak dapat dinafikan juga, dalam kita menasihati  orang ini kadang-kadang kita akan memandang rendah kepada orang lain yang kita nasihatkan. Kita akan rasa lebih bagus daripadanya. Kita akan memperlekehkannya. Takut sangat jadi begitu. Jadi di sini saya kongsikan persepsi Imam Ghazali terhadap orang lain sebagai salah satu panduan untuk kita menjaga hati ini.


Jika berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita. Ini kerana kanak-kanak belum banyak melakukan dosa daripada kita.


Apabila bertemu orang tua, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka sudah lama beribadat.


Jika berjumpa orang alim, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang mereka pelajari dan ketahui.


Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui.


Jika melihat orang jahat/kafir, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.


   Bersempena Awal muharam ini, mari kita sama-sama tajdid niat untuk menjadi hamba yang lebih baik kepada Allah, insyaAllah. Kalau kita boleh membina azam yang hebat untuk ‘happy new year’ kita, kenapa tidak kita beri ruang yang lebih besar untuk diri kita untuk mencari keredhaan Allah bersempena awal muharam ini dengan memperbaiki amalan-amalan kita serta muhasabah kembali hati kita ini.Kembalikanlah semua apa yang kita lakukan kepada Allah. Kalau dikatakan makanan jasad yang dibuat daripada tanah itu merupakan nasi,roti dan seumpamanya yang tumbuh daripada tanah maka apakah makanan untuk ruh kita yang datang daripada Allah? Itulah dia peringatan yang asasnya dari kalamullah(Al-Quran) dan hadith. insyaAllah.

Syukran kepada sahabat yang menasihati diri ini..



  Semoga Amalan,nasihat,tazkirah,peringatan yang kita berikan tidak sia-sia.Mari cuba untuk ikhlas..



Demi terus memberi..
   

3 comments:

  1. takmau.. aku nak follower beribu...ehehee

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Tak kesah pon berapa ramai follower... lagi bagus kalau macam itu.. lagi luas la skop penyampaian kita,tapi cubalah untuk ikhlas..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...